Monday, August 1, 2011

TANAM LADA ATAS BANGUNAN



Kaedah Rooftop Gardening jana pendapatan Politeknik Jeli

TANAH MERAH: Pelajar dan kakitangan Politeknik Jeli melakukan usaha di luar jangkaan apabila manfaatkan ruang atas bumbung bangunan institusi pengajian mereka seluas 9,000 kaki persegi dengan menanam Cili Centil yang boleh memberi pendapatan RM8,000 sebulan.

Program Keusahawanan Rooftop Gardening atau tanaman atas bumbung itu diusahakan menggunakan teknologi penanaman secara fertigasi di kawasan lapang bumbung sejak Mei lalu.
Pengarah Politeknik Jeli, Azizi Lin, berkata selepas dua bulan, sepohon cili centil dianggarkan dapat menghasilkan sekilogram cili matang sebulan dengan purata harga pasaran RM10 sekilogram.

“Sebanyak 800 pokok ditanam yang mampu menghasilkan 800 kilogram tuaian jangkaan hasil RM8,000 sebulan,” katanya ketika ditemui di penempatan sementara politeknik berkenaan di Taman Harmoni, Tanah Merah di sini, semalam.


Proses penanaman bermula pada 18 Mei lalu dan hasilnya dituai secara berperingkat mulai 19 Julai lalu.


Beliau berkata, Politeknik Jeli merangka pelbagai strategi dalam usaha mengukuhkan ‘niche area’ dalam bidang agrotek dan bioindustri.

“Untuk langkah awal, kita bina rangkaian di kalangan agensi pertanian, usahawan dalam bidang pertanian dan pembekal serta pengilang barangan pertanian kerana kaedah Rooftop Gardening tidak terhenti setakat aktiviti tanam dan tuai.

“Malah, kita sedang menjalankan beberapa penyelidikan berhubung penurunan suhu bangunan, kesan terhadap kualiti udara, aplikasi elektronik dan robotik dalam pertanian,” katanya.


Seorang bekas pelajar jurusan Kejuruteraan Elektrik Elektronik, Wan Mohd Hamzi Syakir Wan Harun, 23, berkata pada awalnya beliau tidak berminat menceburi bidang pertanian, tetapi selepas diberi pendedahan, ternyata ia berfaedah untuk semua pelajar.

No comments:

Post a Comment