Monday, August 15, 2011

CIUM ABANG JOE

BERANI...Siti Rodziah ‘bermain’ dengan ular tedung digelar ‘Abang Joe’.

KUALA KRAI: Seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar di sini, boleh disifatkan lain daripada yang lain apabila ‘bersahabat’ dengan ular tedung selar sepanjang 6.7 meter berusia 28 tahun digelar ‘Abang Joe’.

Siti Rodziah Mohd Khair, 17, Kampung Kenor, di sini berkata, dia menjadikan ular tedung selar dipelihara penangkap ular, Mohd Hamdan Mahadi, 25, sebagai teman sejak tiga bulan lalu selepas menonton satu persembahan ular oleh Mohd Hamdan di Kuala Krai.



Katanya, ketika menonton persembahan itu, bapa tirinya, Abd Rahim Jaafar, 36, mencabarnya mencium ular berkenaan.


“Saya memang sukakan aktiviti lasak dan saya terus menyahut cabaran yang diberikan.



“Pada mulanya perasaan takut menguasai diri kerana tidak pernah berdepan dengan reptilia berbisa, tetapi dengan tunjuk ajar daripada Hamdan, saya berjaya mencium ular berkenaan,” katanya.



Menurut Siti Rodziah, selepas persembahan itu Mohd Hamdan bertanya kepadanya sama ada mahu belajar bermain ular dan dia memberikan persetujuan selepas mendapat kebenaran daripada bapa tirinya.


“Pada malam itu juga, saya ditemani ayah dan Mohd Hamdan memulakan latihan pertama di padang Sekolah Menengah Vokasional Kuala Krai.



“Sejak daripada itu, saya tidak ada masalah untuk memegang, malah mencium ular tedung selar dan saya mula mengikuti setiap persembahan yang dibuat Mohd Hamdan. Saya juga sering mengikut Mohd Hamdan menangkap ular jika menerima laporan daripada penduduk walaupun terpaksa bangun daripada tidur pada jam 3 pagi,” katanya.



Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, antara pengalaman tidak dapat dilupakan ialah terpaksa ditahan di wad selama tiga hari selepas dipatuk ular kapak.



Katanya, kejadian berlaku apabila dia cuba menangkap reptilia berkenaan selepas ada penduduk melaporkan reptilia itu masuk ke dalam rumahnya.



“Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi saya apabila reptilia itu mematuk tangan saya, tetapi saya segera minum air masak bagi menawarkan bisa ular sebelum dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. Menurut Siti Rodziah, dia merancang untuk membuat pertunjukan solo tidur bersama ular berbisa di Johor pada Oktober nanti selepas ada individu yang sanggup menanggung kos perbelanjaan untuk pertunjukan itu.



“Memandangkan kini saya aktif membuat persembahan bersama Hamdan sehingga ke luar Kelantan, ada individu yang bersetuju untuk menanggung kos bagi membolehkan saya membuat persembahan solo dengan tidur bersama ular berbisa.



“Jika tiada halangan, pertunjukan itu akan diadakan di Johor pada Oktober nanti dan saya akan mencuba mencipta rekod baru dalam Malaysia Book of Records,” katanya.

Sunday, August 14, 2011

KUIH MURAH


SHAHIDA Abdullah (kanan) melayan pelanggan yang mahu membeli martabak di gerai bapanya di bazar Ramadan Stadium Darulaman, Alor Setar semalam.

ALOR SETAR – Kebiasaan- nya kuih-muih dijual pada harga RM1 untuk tiga biji manakala martabak pula dijual RM2 untuk satu keping di mana-mana bazar Ramadan di negeri ini.


Berbeza dengan bazar Ramadan di pekarangan Stadium Darulaman di sini, orang ramai sekitar bandar raya ini berpeluang menikmati pelbagai jenis kuihmuih seperti karipap, masalodeh, keria, buah melaka, cucur jagung dan cucur badak yang dijual pada harga RM1 untuk 10 biji.


Nurhayati Ahmad, 49, yang berniaga di bazar Ramadan itu sejak 10 tahun lalu berkata, dia menjual kuih-muih bersaiz mini pada harga RM1 untuk 10 biji sepertimana arwah ayahnya lakukan dahulu.


“Arwah ayah selalu berpesan, kalau nak berniaga perlu bagi orang puas hati, buat kuih mesti kena sedap dan jangan terlalu memikirkan keuntungan sahaja,” katanya kepada Bernama.


Nurhayati berkata, walaupun sekarang harga bahan mentah sudah naik, tetapi dia tetap mengekalkan harga RM1 itu walaupun keuntungan yang dia dapat tidak semewah dahulu.


“Saya rasa puas jika semua kuih yang saya jual itu habis dan mereka (pembeli) yang beli kuih saya akan datang lagi pada hari lain dan itu menunjukkan mereka puas hati dengan kuih yang saya jual,” kata Nurhayati yang dibantu oleh anak serta menantu.

Wednesday, August 3, 2011

MENARA TERTINGGI DUNIA

RIYADH: Pengerusi Syarikat Kingdom Holding (KHC), Putera Alwaleed bin Talal semalam mengesahkan syarikat bersekutunya, Syarikat Jeddah Economic (JEC) sudah menandatangani perjanjian SR4.6 bilion (RM3.7 bilion) dengan Kumpulan Binladen untuk membina menara paling tinggi di dunia di Jeddah.

Bangunan itu yang akan digelar ‘Menara Kingdom’ akan menjangkau lebih 1,000 meter dan pembinaan struktur mercu tanda itu yang boleh melihat Laut Merah dan Obhur Creek akan siap dalam masa lima tahun tiga bulan.

Bercakap pada sidang akhbar di ibu pejabat KHC di Riyadh, Alwaleed berkata, projek itu menjadi simbol kepada keyakinan terhadap perkembangan perniagaan di bawah pucuk kepimpinan Raja Abdullah.

“Dasar jangka panjang Raja Abdullah dan kerajaannya menggalakkan masyarakat peniaga melaksanakan projek berjumlah berbilion-bilion riyal seumpama itu,” kata Alwaleed.

Beliau turut menolak sebarang kesan negatif terhadap ekonomi Saudi akibat daripada kekacauan serantau.

Alwaleed juga berkata, status ikon bangunan itu tidak akan bergantung semata-mata pada ketinggiannya.

Menara itu akan menjadi bangunan utama dan fasa pertama pembinaan Kingdom City, projek pembangunan bandar baru JEC yang meliputi kawasan seluas 5.3 juta meter persegi.

Menurutnya, projek itu akan menyediakan keuntungan mapan kepada pemegang saham Kingdom Holding.

Dengan kawasan pembinaan seluas lebih 500,000 meter persegi, Menara Kingdom akan turut mengandungi bangunan hotel dan apartmen Four Seasons, kondominium mewah dan dek meninjau yang lebih tinggi daripada dek meninjau paling tinggi di dunia ketika ini. Merujuk kepada projek itu, Talal Al-Maiman, anggota lembaga pengarah KHC dan JEC, yang ditubuhkan pada 2009 untuk pembangunan Bandar Raya Kingdom berkata: “Wawasan membina menara paling tinggi di dunia di Jeddah adalah milik Alwaleed.

“Ia dirancang dengan begitu pintar dan dengan menjadikannya bangunan paling cantik dibandingkan dengan bangunan lain di dunia,” katanya. - AN

SULTAN SELANGOR BERKENAN PENERIMAAN ZAKAT

SHAH ALAM, 3 Ogos (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat pendapatan bernilai RM8.36 juta daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan anak syarikatnya di sini malam Rabu.

Baginda berkenan menerima zakat berkenaan pada majlis berbuka puasa bersama rakyat yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SAAS) di sini.

PKNS menunaikan zakat sebanyak RM6.71 juta manakala anak-anak syarikatnya Worldwide Holdings Bhd (RM1.13 juta), Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd (RM165,000), Selaman Sdn Bhd (RM118,571), PKNS Holdings Sdn Bhd (RM80,000), PKNS Infra Bhd (RM70,000), PKNS Engineering & Construction Bhd (RM70,000) dan De Palma Management Services Sdn Bhd (RM21,255).

Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan bantuan zakat bernilai RM101,200 kepada 200 orang fakir dan miskin, 100 orang mualaf dan 112 orang anak yatim.

Setiap fakir dan miskin serta mualaf masing-masing menerima RM200 manakala anak yatim menerima RM100 setiap sorang.
Kira-kira 3,000 orang menghadiri majlis berbuka puasa serta tarawih bersama Sultan Selangor.

FERRARI BARU BECKHAM


KERETA baharu David Beckham, Ferrari 612 Scaglietti diletakkan di luar rumahnya di Los Angeles baru-baru ini.

LOS ANGELES - Bintang bola sepak England yang bermain untuk kelab LA Galaxy, David Beckham (gambar kecil) mempunyai koleksi kereta terbaharunya, lapor sebuah akhbar semalam.

Kereta baharu Beckham itu merupakan Ferrari 612 Scaglietti yang berharga AS$300,000 (RM894,294.01), berwarna hitam dan mempunyai nombor 7.


Nombor itu pernah digunakan oleh Beckham semasa dia mewakili kelab Manchester United.


Kereta baharu itu dilihat diletakkan di luar rumah Beckham di sini baru-baru ini.


Sejak dilancarkan pada 2004, kereta Ferrari itu mempunyai sistem navigasi satelit, alat pemain muzik MP3, mengenali suara pemilik dan teknologi wayarles.


Sebelum ini, Beckham memiliki satu koleksi kenderaan yang terdiri daripada sebuah kereta BMW, Lamborghini, Aston Martin, Porsche, Escalade, sebuah jip dan beberapa motosikal. - Agensi

Tuesday, August 2, 2011

DADAH RM540 JUTA



MIAMI: Pihak berkuasa Amerika Syarikat menemui kira-kira 6,803 kilogram kokain dari kapal selam yang tenggelam yang digunakan sindiket penyeludupan di Honduras.

Penemuan itu dianggarkan bernilai AS$180 juta (RM540 juta).



Kapal selam buatan sendiri itu ditahan anggota pasukan pengawal pantai pada 13 Julai lalu.


Anggota kumpulan penyeludup turut ditahan dan sejumlah besar dadah dirampas sebelum kapal itu tenggelam ke dasar lautan.



Operasi besar-besaran membabitkan beberapa bot pengawal pantai, tentera laut Honduras dan pasukan penyelam Biro Siasatan Persekutuan (FBI) melakukan operasi mencari kapal dan dadah berkenaan dan akhirnya menemuinya pada 26 Julai lalu.