Showing posts with label WORLD RECORD. Show all posts
Showing posts with label WORLD RECORD. Show all posts

Wednesday, August 3, 2011

MENARA TERTINGGI DUNIA

RIYADH: Pengerusi Syarikat Kingdom Holding (KHC), Putera Alwaleed bin Talal semalam mengesahkan syarikat bersekutunya, Syarikat Jeddah Economic (JEC) sudah menandatangani perjanjian SR4.6 bilion (RM3.7 bilion) dengan Kumpulan Binladen untuk membina menara paling tinggi di dunia di Jeddah.

Bangunan itu yang akan digelar ‘Menara Kingdom’ akan menjangkau lebih 1,000 meter dan pembinaan struktur mercu tanda itu yang boleh melihat Laut Merah dan Obhur Creek akan siap dalam masa lima tahun tiga bulan.

Bercakap pada sidang akhbar di ibu pejabat KHC di Riyadh, Alwaleed berkata, projek itu menjadi simbol kepada keyakinan terhadap perkembangan perniagaan di bawah pucuk kepimpinan Raja Abdullah.

“Dasar jangka panjang Raja Abdullah dan kerajaannya menggalakkan masyarakat peniaga melaksanakan projek berjumlah berbilion-bilion riyal seumpama itu,” kata Alwaleed.

Beliau turut menolak sebarang kesan negatif terhadap ekonomi Saudi akibat daripada kekacauan serantau.

Alwaleed juga berkata, status ikon bangunan itu tidak akan bergantung semata-mata pada ketinggiannya.

Menara itu akan menjadi bangunan utama dan fasa pertama pembinaan Kingdom City, projek pembangunan bandar baru JEC yang meliputi kawasan seluas 5.3 juta meter persegi.

Menurutnya, projek itu akan menyediakan keuntungan mapan kepada pemegang saham Kingdom Holding.

Dengan kawasan pembinaan seluas lebih 500,000 meter persegi, Menara Kingdom akan turut mengandungi bangunan hotel dan apartmen Four Seasons, kondominium mewah dan dek meninjau yang lebih tinggi daripada dek meninjau paling tinggi di dunia ketika ini. Merujuk kepada projek itu, Talal Al-Maiman, anggota lembaga pengarah KHC dan JEC, yang ditubuhkan pada 2009 untuk pembangunan Bandar Raya Kingdom berkata: “Wawasan membina menara paling tinggi di dunia di Jeddah adalah milik Alwaleed.

“Ia dirancang dengan begitu pintar dan dengan menjadikannya bangunan paling cantik dibandingkan dengan bangunan lain di dunia,” katanya. - AN

Monday, August 1, 2011

DATUK TERMUDA

LONDON - Datuk termuda di Britain, Shem Davies yang berusia cuma 29 tahun memberitahu, dia akan membantu anak perempuannya, Tia dan teman lelakinya, Jordan untuk meneruskan kehidupan mereka, lapor sebuah akhbar semalam.

Pada awal bulan lalu, Tia yang berusia 14 tahun melahirkan seorang bayi perempuan, Gracie, hasil hubungan intimnya dengan teman lelakinya itu yang berusia setahun lebih tua.

 Keluarga datuk termuda Britain terdiri daripada Shem Davies (dua dari kanan), Kelly, (kanan), Jordan (kiri)dan Tia yang memangku anaknya, Gracie.

 "Pada awalnya, saya agak marah apabila mengetahui anak perempuan saya mengandung. Namun kemarahan itu beransur hilang," kata Shem. Malah, Davies dan bekas kekasihnya yang berusia 30 tahun Kelly John iaitu ibu Tia, kini gembira dengan kelahiran cucu mereka. "Saya menerima semua yang berlaku dengan positif," kata Davies.

Sementara itu, Jordan yang menduduki peperiksaan beberapa minggu sebelum Gracie dilahirkan memberitahu, dia sedar tanggungjawabnya sebagai seorang bapa. "Saya ialah ketua pasukan ragbi sekolah saya, ia seperti memiliki 14 orang anak," katanya. - Agensi